Speak General, Act Special

Kemahiran Penggarapan Umum

Kepentingan “takwin’ dalam dakwah telah menjadikan ia diletakkan pada prioriti teratas dalam kerja-kerja dakwah kita. Pemikiran kita sepenuhnya tertumpu kepada usaha tajmik dan takwin. Kerja-kerja yang tidak menjurus kepada takwin, tidak kita pedulikan kerana ia pada pandangan kita akan mensia-siakan tenaga dan tidak membuahkan hasil yang wajar sesuai dengan tuntutan dan keperluan marhalah.

Kita percaya bahawa kejayaan kita dalam menjalankan amal takwini menjadi ukuran kejayaan kita dalam mencapai objektif perubahan strategik yang kita harapkan. Kerja-kerja umum yang dilakukan selalunya berakhir dengan natijah yang sama seperti diawal permulaan atau pusingan.

Amal takwini ialah amal yang menjurus kepada pembentukan kawader yang mantap menguasai selok-belok dakwah dan seterusnya membentuk struktur haraki yang dapat memenuhi keperluan-keperluan dakwah secara menyeluruh sama ada dari segi menunjang-takhasus- atau melebar- medan. Di atas bahu mereka ini dikembangkan dakwah mengikut kekuatan, saiz dan kapasiti secara seimbang.

Namun kita harus sedar bahawa membatasi tumpuan pemikiran dan kerja kepada aspek takwin sahaja untuk tempoh yang lama mungkin menatijahkan hasil yang negatif dalam banyak aspek terutama dari aspek pembangunan potensi amal umum/penggarapan umum.

Ini kerana akan terbentuk satu suasana elit dalam budaya, bahasa dan uslub pengucapan dikalangan kita yang tidak difahami oleh orang lain dan dalam masa yang sama melemahkan jambatan perhubungan kita dengan masyarakat luar. Natijahnya generasi yang dilahirkan dalam biah ini akan merasa kekok (asing dengan dakwahnya bersama orang luar) untuk berhubungan dan bergaul dengan masyarakat umum apa lagi untuk menggerakkan amal umum dengan jayanya.

Oleh itu, sebelum kita meneruskan langkah berikutnya, saya kira perlu kita berhenti sebentar untuk mengakaji dan merawat fenomena yang negatif yang mungkin berlaku jika kita tidak merawatnya lebih awal.

Kita sememangnya sedar bahawa apa yang kita mahu akhirnya ialah natijah yang komprehensif iaitu sebuah jamaah yang mempunyai kemampuan tarbiah takwin yang mantap dan dalam masa yang sama boleh menggunakan potensinya untuk menjayakan aktiviti yang memerlukan penggarapan umum.

Saya juga berpendapat bahawa marhalah kita ke depan ini memerlukan kita untuk menggunakan potensi penggarapan umum yang ada pada diri semua. Matlamat kita ialah untuk membawa dakwah ISMA sedikit demi sedikit ke dalam masyarakat melalui cara perkongsian agenda dan isu dengan masyarakat umum.

Dalam program penggarapan umum kita tidak hanya bergantung kepada individu yang mempunyai qualiti tertentu untuk melaksankan amal khusunya dari jenis amal am. Kalau selama ini kita banyak melonggakkan tugas kepada golongan yang mempunyai qualiti tertentu, marhalah ke depan ini kita perlu memperluaskan medan amal dengan cara mensivilkan projek islami kita sehingga kita boleh menggarap potensi semua level termasuk potensi yang baik yang berada di sekitar saf.

Ini tidak syak merupakan satu anjakan dalam pemikiran dan tumpuan kita dan jika berjaya akan juga berlaku anjakan dalam amal medan kita. Dan dengan itu kita akan berjaya menjadikan ISMA sebagai organisasi yang mempunyai jamahir dan sekali gus memartabatkanya dalam pandangan masyarakat..

Kekal dalam suasana elit juga bukan tujuan yang dikehendaki dalam dakwah ini. Dakwah harus mempunyai jamahir /penyokong. Dan kita sedar bahawa terdapat di sana objektif-objektif dakwah yang boleh dilakukan melalui penggarpan jamahir tanpa perlu kita tunggu sehingga kita telah menyelesaikan aspek takwin dengan sempurna.

Sebaliknya cara terbaik ialah dengan kita mengembangkan potensi yang dibentuk melaui amal takwin melaui pembukaan medan amal jamahiri secara sedikit demi sedikit sesuai dengan kemapuan. Amal jamahiri terancang boleh menjadi medan tarbiah amali kepada anasir yang ditakwin. Dengan itu proses takwin berlaku dengan cara konprehensif dan akan menjamin produk yang lebih baik. Amal jamahir ini tentulah yang bersifat semasa dan jangka masa pendek. Adapun matlamat umum dan jangka jauh (strategik) tidak mungkin dicapai dengan cara itu (amal am/jamahiri).

Diriwayatkan bahawa antara kelebihan Imam al-Banna ialah beliau memiliki kemahiran melakukan dua perkara dalam satu masa; menyaring (istifa’) anasir yang baik dan menggarap pandangan umum untuk mendokong isunya. Pengucapan beliau difahami oleh orang awam pada kadar mereka dan difahami oleh orang khusus mengikut kemampuan mereka.

Saya berkeyakinan bahawa kita perlu berganjak dan mengubah uslub pengucapan dakwah yang sangat sebati dengan kita selama ini. Bahasa dan tatabahasa yang bersifat eksklusif. Kita perlu dalam pengucapan, mampu bercakap kepada semua level dan dalam masa yang sama kita memilih mereka yang berminat untuk ditakwinkan. Justeru kita perlu belajar kemahiran tatabahasa dan gaya kerja yang boleh menggarap semua orang supaya menyokong isu/agenda kita sama ada yang berada dalam takungan takwin atau belum.

Oleh itu saya merasakan satu proses pembetulan perlu dilakukan, tanpa perlu merubah keyakinan kita terhadap kepentingan tarbiyah dan takwin. Proses yang saya maksudkan ini ialah proses menghidupkan semula potensi yang mungkin terabai selama ini oleh tumpuan yang lama dibidang kerja-kerja tarbiyah yang khusus serta mula membuat imbangan bijak dalam proses pembentukan konprehensif jenerasi akan datang.

Proses ini saya ingin jadikannya satu slogan “bercakap kepada semua orang, beraksi dengan yang berminat”. Kaedah ini bukan suatu yang baru. Sebaliknya Imam al-Banna sendiri menggunakan kaedah ini dalam khitab-khitab dakwah beliau. Seperti istilah “look global act local” isitah “speak general act special” bererti kita bercakap untuk semua orang tetapi dalam masa yang sama fokus kepada anasir yang prihatin istijabah dengan fikrah.

Lama berada dalam marhalah amal takwin menyebabkan terbentuk adabiyyat-budaya kerja-, tatabahasa dan mekanisma amal tertentu, yang bersifat eksklusif. Ini menyebabkan seseorang tidak lagi mahir untuk bercakap kepada umum dan mufradat -tatabahasa- yang digunakannya tidak boleh difahami oleh umum.

Sudah sampai masanya kita merubah keadaan ini. Anda tidak perlu bimbang bahawa ia akan menyebabkan tumpuan kita berubah dan kita mengabaikan takwin, kerana thaqafah at takwin telah terpasak mantap dalam diri kita. Sebaliknya jika ia tidak diubah akan meyebabkan dakwah kita terasing dan menyukarkan kita untuk tampil ke depan dan mencapai strategi yang kita gariskan pada masa akan datang.

Manfaat dari perubahan ini kita akan dapat rasai dengan ketara dari dua aspek.

Pertama:Kita dapat merawat sesetengah suasana buntu dalaman yakni “keperibadian tidak berkembang”

Kedua: Kita dapat faedah baru dari bentuk amal yang lebih meluas melibatkan/ menggerakkan bukan sahaja orang yang berada dalam tarbiyah tetapi masyarakat umum yang prihatin terhadap isu-isu tertentu

Pengalaman umum yang kita lihat sering berlaku terhadap usaha yang sering terhenti-henti yang dilakukan oleh mereka yang tidak tertarbiyah atau kecacatan syar’ie dalam perlaksanaan dan seribu satu macam masalah lagi tidak sepatutnya menjadikan kita zuhud terhadap kerja-kerja yang melibatkan penggarapan umum.

Perasaan itu tidak saya nafikan kebenarannya tetapi tidak kesemuanya betul. Maksud saya ada suasana-suasana menunjukkan penggarapan umum dapat membuahkan hasil walaupun tidak sesempurna yang dapat kita hasilkan melalui penggarapan khusus. Sebagai contoh parti-parti politik dan kerja-kerja kebajikan tertentu yang digarap dengan menggunakan potensi masyarakat oleh individu-individu tertentu telah juga membawakan hasil walaupun tidak sempurna atau kurang kekal.

Saya juga bimbang kepergantungan kepada penggarapan khusus juga melahirkan sikap negatif dalam diri kita seperti memilih suasana amal yang senang-senang dan tidak mahu bersusah-susah menyebabkan sebahagian objektif dakwah yang secara dahoruri kita capai dengan penggarapan umum tidak dapat kita penuhi.

Saya tidak bermaksud dengan seruan ini untuk membawa saudara/i ahli ISMA kepada “elemen gopoh atau nak cepat” tetapi lebih kepada istidrak -pembetulan- supaya kemampuan penggarapan umum dan potensi perolehan dakwah melalui metod menggarapan umum tidak terkubur atau terabai. Kita akan terus menumpukan kepada proses takwin dan tarbiyah tetapi kita juga harus peka terhadap kesan negatif dari tabiat satu-satu bentuk amal jika ia berkekalan untuk tempoh yang terlalu lama tanpa pembaik pulihan. Semua bentuk amal ada positif dan negatifnya. Kita sepatutnya ambil yang positif dan tinggalkan yang negatif.

Apa yang diharapkan ialah berlaku anjakan paradigma dalam pemikiran kita. Apa yang kita perlu faham dalam hal ini ialah adabiyat, mufradat dan aliyyat dakwah dalam amal takwin berbeza dengan ianya dalam konteks amal am atau penggarapan umum. Pengucapan dalam realiti pertama agak eksklusif sifatnya manakala pengucapan umum lebih bersifat massa. Terlalu terbiasa dengan keadaan pertama boleh memberi kesan negatif kepada potensi yang diperlukan dalam suasana kedua. Ini akan menyebabkan dakwah akan kekal terasing dan terpisah dari masyarakat.


Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman
Presiden ISMA

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails