[isma] Bola dan Belia di pagi Ahad

Shah Alam, 1 Mac - Pagi Ahad memang sinonim dengan waktu rehat. Bersantai atau beriadah biasanya menjadi pilihan utama kebanyakan orang. Apa jua aktivitinya, yang penting tujuannya dapat merehatkan minda dan fizikal. Bagi belia Pembina dan ISMA Shah Alam Klang, mereka memilih untuk mengisi pagi Ahad dengan aktiviti yang mencergaskan badan bersama rakan-rakan. Seawal jam 8 pagi ketika mana ramai manusia masih berselimut atau masih lagi santai di rumah, para pemain sudah kelihatan memanaskan badan di tapak futsal bersebelahan dengan Surau At-Taqwa, Seksyen 7 Shah Alam.

Seramai lebih kurang 16 orang hadir pada pagi Ahad yang lalu untuk bersama-sama memeriahkan suasana. Bermain dengan 4 pemain dalam setiap kumpulan, setiap pemain berpeluang menunjukkan bakat masing-masing di medan perhitungan. Suasana nyata meriah dengan telatah pemain yang riuh dengan sorakan dan usik-mengusik sepanjang permainan, Banyak aksi menarik dapat disaksikan sepanjang perlawanan. Permainan disudahkan sekitar jam 10.15pagi. Di kala para pemain merehatkan badan sambil dihidangkan dengan air sirap ros merah hasil tangan saudara Munir selaku tuan rumah, Ustaz Azrin mengisi ruang masa yang ada dengan sedikit perkongsian.

Mengambil contoh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta beberapa kerat ayat dari Al-Quran, beliau menegaskan tentang pentingnya kita untuk beriman dan beramal soleh. Tegas Ustaz Azrin, kedua-dua perkara asas ini perlu kita terapkan dalam diri selaku muslim sejati kerana ia akan menjadi persoalan di hari perhitungan kelak. Perkongsian yang ringkas dan singkat tetapi mudah difahami itu diharap dapat dicerna oleh para pemain yang cerdas pagi itu. Aktiviti tamat secara rasmi sekitar jam 10.30 pagi. Para pemain sempat berkenalan antara satu sama lain sebelum masing-masing membawa diri ke haluan yang berbeza.

Menurut En Zainuddin selaku presiden Pembina Shah Alam Klang, antara tujuan Pembina dengan kerjasama ISMA Shah Alam Klang mengadakan futsal mingguan pada pagi Ahad ialah untuk membentuk muslim yang hebat secara menyeluruh. Mengambil iktibar dari kata-kata “Muslim yang kuat adalah lebih baik dari Muslim yang lemah”, kesihatan tubuh badan adalah faktor besar yang menyumbang dalam kelajuan dakwah yang ingin disampaikan. Kecergasan tubuh badan juga mampu meningkatkan kecerdasan minda. Oleh itu, para belia dipelawa untuk turut sama menjayakan program futsal mingguan ini.


Laporan oleh: Hatta MD

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap pemain


Sukan mampu membentuk semangat berpasukan dan setiakawan


Mendengar santapan rohani setelah berhempas pulas mengerah jasmani


Bergambar sebagai tanda kenangan abadi


0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails