Bicara YDP




DR AMIRUDIN ABDUL WAHAB

YANG DIPERTUA
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
SHAH ALAM







Alhamdulillah, pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua, dapat kita mewujudkan keluaran sulung website ISMA Shah Alam & Klang. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Biro Dakwah & Media, ISMA Shah Alam Klang yang telah bertungkus lumus memastikan kejayaan melahirkan keluaran sulung media online ISMA Shah Alam Klang ini.

Saudara Saudari yang dimuliakan;

Kita semua baru sahaja menempuh tahun baru Hijrah 1430H serta tahun baru 2009. Pada setiap awal tahun, selalunya kita akan dapat melihat ramai manusia yang menyemat azam untuk melakukan perubahan kepada keadaan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Namun, di masa yang sama, apabila kita melakukan muhasabah, kita akan dapati tidak sedikit manusia yang telah gagal mencapai objektif mereka sebelum itu. Kenapa?

Saudara Saudari yang dikasihi;

Tiada manusia yang merancang untuk gagal tetapi ramai manusia yang gagal untuk merancang. Secara sedar atau tidak, sebenarnya manusia yang gagal merancang sedang merancang untuk kegagakan. Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa tidak semua perancangan yang dirancang oleh manusia membawa kepada natijah yang mereka kehendaki. Ini kerana di sana terdapat tadbir langit yang berlaku mengikut kehendak Yang Maha Kuasa. Namun, perancangan Islam menghendaki kita bersedia, beramal dan melengkapi syarat, kemudian bertawakkal kepada Allah dan menunggu susunan dari langit membawa kita kemenangan yang pasti. Oleh yang demikian, yang penting kepada kita ialah bersedia, bila ia tiba, kita menggunakan peluang tersebut untuk membawa kita ke destinasi yang kita kehendaki.

Di atas hasrat serta keyakinan di atas, ISMA Shah Alam Klang telah mengorak langkah dengan mengadakan satu ‘retreat pelan strategik’ pada 29 Disember 2008 lalu di Masjid Negeri Shah Alam, meliputi semua biro-biro di kawasan. Alhamdulillah, hasil dari perancangan strategik di atas, terbentuklah pelbagai program dan aktiviti yang telah disusun sepanjang tahun 2009. Harapan saya ialah semoga segala perancangan yang disusun oleh setiap biro yang terlibat akan dapat diterjemahkan dengan jayanya di peringkat operasi serta dapat menghasilkan natijah atau hasil yang kita semua harapkan. Ini, termasuklah perancangan Biro Dakwah & Media kawasan untuk mewujudkan website ISMA Shah Alam & Klang ini. Semoga ianya tidak akan berhenti setakat berjaya mewujudkan website ini, malah yang lebih mencabar ialah ianya akan dapat melonjakkan website kawasan ini ke hadapan melalui penerbitan bahan-bahan yang berkualiti dan konsisten melalui sumbangan ahli-ahli ISMA Shah Alam dan Klang sendiri. Kalau tidak kita, siapakah lagi yang akan menjayakannya.

Akhir kata, saya ingin sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada kesemua yang terlibat di dalam menjayakan penbuhan website sulung ISMA Shah Alam Klang ini dan semoga kita semua akan dapat terus beristiqamah menjayakannya.

Sekian. Wassalam

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails