HARI KELAPAN HINGGA KESEPULUH - MEKAH

Pada hari kelapan, Ustaz Abdul Halim dan rombongan umrah dan Egypt Tour yang datang melalui Mesir bertolak pulang ke tanah air manakala kami terus berada di Mekah selama tiga hari lagi sebelum pulang ke tanah air. Baki tiga hari yang tinggal tidak kami sia-siakan melainkan dipenuhkan dengan pelbagai amal ibadat seperti umrah, tawaf sunat, solat berjemaah, tilawah Al Quran, iktikaf, zikir, doa dan sebagainya. Saat yang menyedihkan kami ialah apabila saat perpisahan kami dengan Masjidil Haram dan Kaabah. Ini berlaku apabila kami semua mengerjakan tawaf widak atau tawaf selamat tinggal.



Penulis dan isteri di sisi Kaabah yang dirindui dan lautan ribuan manusia yang sedang bertawaf



Namun, insyaAllah, seperti mana di dalam doa-doa kami selepas selesai ibadah tawaf widak tersebut, hati ini berdoa untuk datang lagi sebagai tetamuNya di suatu hari nanti, malah jika diizinkanNya dalam masa terdekat nanti dengan mengerjakan ibadah haji, InsyaAllah sekali lagi bersama hajiumrah.com. Apa yang dapat disimpulkan dari diari perjalanan ini ialah pelaburan mengerjakan umrah ini adalah pelaburan yang sangat menguntungkan, baik di dunia mahupun di akhirat, lebih-lebih lagi jika dilakukan di bulan Ramadhan Al Mubarak.

Sekurang-kurangnya, kami telah pulang dengan membawa hati yang telah ditarbiyah, perjalanan yang telah meluaskan pandangan kami, seerah Nabi yang sedikit sebanyak dirasai, dosa yang InsyaAllah moga telah diampunkan, amal ibadat yang telah terlaksana serta air zam zam sebanyak 10 Liter yang disediakan oleh hajiumrah.com sebagai pengubat rindu dan kenangan kami kepada kepada kota suci Mekah Al Mukarramah ini. Ameen Ameen Ya Rabbal Alameen.


BEBERAPA PENGAJARAN RINGKAS YANG DAPAT DIPETIK

1) Pemilihan sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji merupakan satu anugerah dan nikmat Allah SWT yang sangat besar kepada kita. Segala pelaburan yang dicurahkan kepadanya tidaklah sia-sia. Oleh yang demikian, amatlah penting segala persiapan dan kekuatan dari aspek ruhi, aqli dan jasmani disediakan sepenuhnya agar hasil maksimum dapat dikecapi ketika mengerjakan ibadah tersebut.

2) Kesempatan berada di dua kota suci Islam iaitu Mekah dan Madinah seharusnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita dengan memperbanyakkan amal ibadat seperti umrah, tawaf sunat, solat berjemaah, tilawah Al Quran, iktikaf, zikir, doa dan sebagainya. Ini kerana amal ibadat kita seperti solat di Masjidil Haram dan di Tanah Haram adalah 100,000 kali ganda pahalanya, manakala amal ibadat di Masjid Nabawi adalah 1,000 kali ganda pahalanya dibandingkan di tempat-tempat yang lain. Malah, semasa mengerjakan ibadah di kedua-dua kota suci ini, terdapat banyak kesempatan untuk kita berdoa yang mustajab, dan oleh itu, amatlah digalakkan untuk kita berdoa, bukan hanya untuk diri dan keluarga kita, malah untuk kemenangan dan kejayaan ummah dan dakwah Islam di seluruh pelusuk tempat termasuk di Palestin dan Malaysia.

3) Kesempatan berada di kedua-dua tanah suci ini amat penting sekali dijadikan sebagai satu platform tazkiyatun nafs atau pembersihan diri dan jiwa dari segala dosa-dosa dan sifat-sifat mazmumah yang ada pada kita. Di sini kita boleh berdoa terus memohon keampunan dari Allah secara terus dan hati kita juga akan ditarbiyah atau dididik secara terus olehNya, melalui doa-doa, perkataan, perbuatan dan amalan kita yang InsyaAllah boleh menjadi ‘masin’ semasa di sana. Oleh yang demikian, sifat-sifat seperti sabar dan syukur, serta menjaga diri baik dari segi perkataan, perbuatan atau amalan semasa di sana sangatlah penting, lebih-lebih lagi apabila diberi kesempatan menjadi tetamuNya di bulan Ramadhan Al Mubarak. Ini kerana kita akan diuji olehNya secara langsung atau tidak mengenainya dan kita akan dapat merasai sendiri kecintaan kepada perkara-perkara yang soleh dan baik serta kebenciaan kita kepada kekufuran, derhaka dan fasiq.

4) Kesempatan berada di bumi anbiya’ ini hendaklah dimanfaatkan dengan menziarahi sebanyak mungkin tempat-tempat yang bersejarah. Ini kerana keberadaan di sana memungkinkan kita bukan sahaja untuk memahami dengan lebih mendalam perjalanan seerah Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda, malah membolehkan kita sedikit sebanyak melalui dan merasai sendiri betapa hebatnya dan mencabarnya pengalaman yang mereka lalui di dalam memastikan kejayaan dakwah Islam ini. Secara tidak langsung, kita yang melaluinya dapat menggambarkan serta merasai sendiri keadaan mereka, khususnya apabila diberi penerangan dan taklimat terus mengenai perisitiwa-peristiwa penting yang berlaku di ketika itu.


0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails