Diari Perjalananku Mengerjakan Umrah - Hari 1

Pada 2 Ramadhan 1430H bersamaan 23 Ogos 2009 baru-baru ini, bermulalah satu pengalaman dan perjalanan yang bermakna buat diriku dan isteri tercinta. Kami mengerjakan umrah dan ziarah ke dua buah kota suci umat Islam iaitu Madinah Al Munauwarah and Mekah Al Mukarramah bersama Ustaz Abdul Halim Abdullah (www.hajiumrah.com) selama 2 minggu buat pertama kalinya.


HARI PERTAMA - MADINAH
Bermula dari detik kapal terbang kami mendarat di Jeddah, perjalanan kami ke kedua-dua tanah suci umat Islam bermula dengan perjalanan menaiki bas menuju ke Madinah, merentasi gurun yang luas, bukit-bukit batu yang kering kontang serta cuaca panas yang melebihi 40-45 darjah celcius. Namun kesemua di atas, tidak sedikit pun melenturkan hasrat dan cita-cita kami untuk bertemu dengan Allah dan RasulNya di sini.





Bersama isteri ketika di dalam kapalterbang menuju ke Jeddah dan di ketika menaiki bas yang berhenti sebentar untuk mengisi minyak di tengah-tengah gurun.







Walaupun agak keletihan disebabkan oleh perjalanan yang agak jauh sebelum ini (transit flight dari Dhaka, Bangladesh terus ke Jeddah mengambil masa 5-6 jam dan kemudiannya menaiki kami bas dari Jeddah terus ke Madinah selama lebih kurang 4-5 jam), selepas check-in di hotel kami di Madinah dan bersiap-siap lebih kurang sejam, kami terus dibawa menziarahi Masjid Nabawi yang jauhnya lebih kurang 150m dari Masjid. Solat di sini adalah 1000 kali ganda pahalanya dibandingkan dengan solat di tempat lain kecuali Masjidil Haram di Mekah.





Sejurus sampai di Madinah Al Munauwarah, kami di bawa oleh Ustaz Abdul Halim menziarahi Masjid Nabawi serta diberi taklimat yang panjang lebar mengenainya.








Pada petangnya, selepas solat Zohr dan kemudiannya solat Asr di Masjid Nabawi, kami berkesempatan berbuka puasa di Masjid Nabawi. Pengalaman berbuka di Masjid Nabawi amatlah ringkas, di mana, kami dihidangkan dengan kurma madinah serta berkesempatan untuk minum air zam zam dan makan sedikit roti dan yogurt.

Apa yang menarik ialah bagaimana sebelum itu, terdapat beberapa individu, khususnya dari golongan anak-anak muda yang berebut-rebut hendak menjemput kami untuk berbuka puasa di ‘lot-lot’ mereka di Masjid Nabawi secara percuma, bagi mendapat habuan akhirat. Ini bagi menyahut seruan hadith Rasulullah SAW yang menyebut bahawa sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sama seperti mereka.

Alangkah bezanya jika kita bandingkan keadaan di Malaysia yang mana, kebanyakan tuan-tuanpunya ‘lot-lot’ di bazaar Ramadhan berebut-rebut untuk menjual makanan mereka dengan harga yang tinggi, bagi mengejar dan mendapat habuan keuntungan dunia. Alangkah kontrasnya dua tempat ini.


Selepas berbuka ringkas dan solat maghrib berjemaah di Masjid Nabawi, kami balik semula ke hotel tempat penginapan bagi menjamu selera makanan Melayu yang telah disediakan di hotel kami. Ianya adalah sebahagian daripada pakej yang telah disediakan oleh hajiumrah.com




Bergambar di Masjid Nabawi selepas solat tarawih di Masjid Nabawi











bersambung...

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails