Rehlah Mashi Badar al-Kubro 1430H

Program ini merupakan kali kedua dijalankan oleh ISMA cawangan Shah Alam Klang dengan kerjasama PEMBINA. Peserta berkumpul di dua lokasi berbeza iaitu di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan Masjid Munawarah Seksyen 27 seawal jam 7.30 pagi.



Kedua-dua kumpulan peserta ini kemudiannya bertolak dari dua buah Masjid tersebut ke Taman Tasik Cyberjaya secara berasingan dengan di ketuai oleh Saudara Kamarul Azizan dan Ustaz Rusdi Alias, masing-masing membawa kumpulan peserta daripada Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan Masjid Munawarah. Kesemua 42 orang peserta akhirnya berjaya dikumpulkan pada jam 9 pagi di tempat letak kereta Taman Tasik Cyberjaya. Pendaftaran peserta dan taklimat program dijalankan di Dataran Taman Tasik Cyberjaya.



Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dengan setiap kumpulan diwakili oleh 14 orang peserta. Setiap kumpulan diberikan beberapa tugasan untuk diselesaikan. Antara tugasan yang diberi ialah soalan kuiz yang berkaitan dengan siri-siri perperangan yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Setiap peserta dibekalkan dengan soalan kuiz yang mesti dijawab secara individu dengan dibenarkan melakukan perbincangan bersama ahli kumpulan yang lain.

'Senjata' untuk melaksanakan 'misi' tersebut adalah kitab-kitab sirah yang telah dimaklumkan awal oleh penganjur untuk dibawa peserta bagi memudahkan mereka membuat rujukan. Disamping itu, setiap peserta juga diberi senarai nama 313 orang sahabat-sahabat radiallahuanhum yang telah menyertai perang Badar Al Kubra untuk dihafal mengikut strategi kumpulan masing-masing.

Program kemudiannya diisi dengan tazkirah pertama yang disampaikan oleh
Ustaz Azrin Shamsudin dengan tajuk Qudduwah. Setelah selesai mendengar tazkirah, peserta dipimpin untuk melakukan senaman ringan oleh Saudara Tengku Asyraf.



Peserta kemudiannya bergerak berjalan kaki mengikut kumpulan masing-masing melalui trek perjalanan yang dianggarkan sejauh 5km yang bersamaan dengan dua kali pusingan Taman Tasik tersebut seperti yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Para peserta berjaya menyelesaikan tugasan dan berkumpul semula di Dataran Taman Tasik Cyberjaya pada jam11.15 pagi. Tugasan terakhir yang diminta untuk dilakukan oleh peserta adalah menulis semula nama-nama 313 orang sahabat yang telah menyertai perang Badar Al Kubra di dalam kumpulan masing-masing.



Segala penat lelah peserta melakukan tugasan-tugasan tersebut akhirnya disempurnakan dengan pemberian jawapan oleh pihak penganjur. Program ini diteruskan dengan sesi pengisian tazkirah kedua yang disampaikan oleh
Ustaz Rusdi Alias dengan tajuk Kekuatan Ruhiah Faktor Kemenangan Umat Islam.

Setelah selesai mendengar tazkirah, pengarah program Rehlah Masyi - Badar Kubra memberikan kata-kata penutup dan harapan ISMA terhadap penerusan program-program sebegini di masa akan datang. Program berakhir dengan sesi bergambar ke semua peserta 'Badar' dan bersurai jam 12.30 tengahari.

Wartawan : Kamarul Azizan
Gambar : Mohd Hamdan

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails