Perutusan EidFitri 1430 H



Dr Amirudin Abdul Wahab
Yang Dipertua
Ikatan Muslimin Malaysia
Cawangan Shah Alam & Klang






Assalamualaikum warahmatullah
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahi Alhamdu.

Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT, Tuhan Seru Sekalian Alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkanNya kepada kita selaku para hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa, noda dan kekurangan yang ada pada diri kita, yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta ghoflah. Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar kita yang dikasihi Rasulullah SAW, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah dan barokah di dunia dan akhirat. Begitu juga kita ucapkan salawat dan salam kepada keluarga, para sahabat serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah, tanpa penat dan lelah sehingga tibanya Yaumul-Qiyamah.

Saudara Saudari rakan seperjuangan sekalian,

selamat menyambut Eidulfitri, hari kemenangan bagi hamba-hambaNya yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa. Semoga setiap amalan kita diterima Allah dan dijadikan pemberat amal di akhirat nanti. Kita panjatkan doa supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi kerana tidak diampunkan dosa, walaupun kita telah menjalani bulan Ramadhan, sebagaimana yang telah diungkapkan dalam hadis baginda Nabi (SAW),

“Rugi dan celakalah sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya”


Saudara Saudari yang dikasihi,

marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia, yang telah kita lalui bersama-sama umat Islam yang lain. Bersyukurlah sekiranya kita telah berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam di tengah malam buta menjadi kenangan manis bulan Ramadhan yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua. Berishtighfarlah, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka, apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dariMu ya Allah.
Bulan Ramadhan adalah madrasah takwa, bulan ukhuwwah, bulan mujahadah, bulan beribadah, bulan bermuhasabah, bulan tazkiyyah dan tarbiyyah rohaniyyah, bulan membersihkan jiwa dan bulan menambahkan bekalan takwa. Bulan hidangan Rabbani untuk hamba-hamba yang memiliki kesedaran. Bulan Ramadhan adalah bulan memperbaiki kelemahan diri dengan meningkatkan ilmu melalui membaca dan mengkaji al-Quran, melawan nafsu dengan berpuasa dan mempertingkatkan darjat kerohanian dengan melakukan pelbagai ibadah kepada Allah; puasa, zikir, doa, solat sunat tarawih, solat qiam dan zakat fitrah.


Saudara Saudari yang dikasihi,

Kita beryukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nikmat kesihatan, kekuatan, dan kemampuan sehingga sama-sama kita akhirnya dapat melalui bulan Ramadhan yang penuh keberkahan dan kemuliaan. Namun kini, persoalan yang tidak kurang pentingnya kepada kita semua ialah bagaimana seharusnya kita menghadapi bulan-bulan yang mendatang? Hadirnya Ramadhan sebagai madrasah, mendidik jiwa agar lebih bertaqwa, menekan gelojak nafsu agar tidak bermaharajalela, melatih diri melazimi tilawah al-quran dan memotivasikan semangat mencari redha Allah. Kita dapat lihat di kala Ramadhan tiba, manusia berduyun-duyun memenuhi masjid, beriktikaf, bertilawah, bertarawikh, bertahajjud dan seribu macam lagi kebaikan. Semuanya berebut-rebut mendapatkan peluang di dalam bulan Ramadhan. Namun selepas perginya Ramadhan, hilanglah segala ruh kebaikan bersamanya. Ini bukanlah apa sebenarnya yang kita ingini daripada madrasah Ramadhan.

Apa yang kita harapkan melalui madrasah Ramadhan ini ialah insan-insan yang mempunyai jiwa rabbani dan bukan sekadar memiliki semangat Ramadhani. Apa yang kita ingini pada diri kita adalah hamba yang melakukan amal kebaikan dalam tujuan mencari redha Allah dan bukan sekadar mengejar ganjaran pahala. Segalanya kembali kepada niat kita di awal Ramadhan dahulu. Jika niat itu bersih semata-mata mengharapkan redha Ilahi insyaAllah, rasa taqwa itu akan berterusan walaupun Ramadhan itu sudah pergi. Ramadhan tamat dengan solat Aidul Fitri, memuji dan takbir membesarkan Allah. Jadi bersamalah kita menghidupkan hari raya kali ini dengan penuh rasa taqwa hasil dari bulan Ramadhan yang lalu dengan menghidupkan hubungan ukhuwwah sesama kita. Ini kerana mungkin dalam bulan Ramadhan, kita kurang bertegur-sapa lantaran khusyuknya di dalam masjid, atau mungkin dahulu kita bermusuh-musuhan dan ada rasa tidak puas hati, maka di kesempatan hari raya inilah kita bermaaf-maafan dan mempertautkan ukhuwwah.

Dakwah adalah seruan mengajak manusia beriman dan tidak sempurna iman tanpa kasih sayang, dan tiada kasih sayang tanpa taaruf dan tafahum. Natijah iman adalah amal soleh dan takaful sesama muslimin. Kasih sayang adalah lambang kemerdekaan daripada belenggu nafsu dan kepentingan diri. Kasih sayang adalah ukhuwwah dan satu sahaja ghibah berlaku ke atas seorang beriman terputuslah ukhuwwah dan kasih sayang. Memberi salam, berwajah senyum, memperkenalkan diri, bertanya khabar, ucapan tahniah, takziah dan sebagainya merupakan pintu-pintu kasih sayang. Satu kasih sayang terhubung maka satu pindu dakwah terbuka melalui hidup bersama, qudwah hasanah yang ditunjukkan, prihatin dan bertukar-tukar ucapan menambahkan ikatan kemesraan dan kasih sayang. Oleh itu marilah kita semua menghidupkannya.


Salam Eidulfitri dan Maaf Zahir Batin


0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails