[isma] Forum Keibubapaan Islam

SHAH ALAM 22 Feb. – Biro Wanita ISMA kawasan Shah Alam-Klang (SAK) telah menganjurkan program “Forum Keibubapaan Islam” pada Ahad yang lepas. Forum ini telah dihadiri oleh lebih 60 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli ISMA yang telah mahupun belum berumahtangga. Diadakan di Masjid al-Munawwarah SS 27, Shah Alam dan bermula seawal jam 8.30 pagi.

Antara tujuan pihak penganjur mengadakan program ini ialah untuk memberikan pendedahan kepada semua peserta tentang cabaran di dalam mendidik anak-anak di zaman serba moden ini dan cara-cara menghadapinya.

Program pagi Ahad ini dibuka dengan bacaan Al- Fatihah oleh Pengerusi Majlis pada jam 9.00 pagi dan disusuli pula dengan alunan ayat-ayat suci Al Quran yang dipetik daripada Surah Al- Luqman ayat 13 sehingga 19 oleh adik Ahmad Fidak B. Mohd Rushdi. Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan dan sekaligus perasmian oleh ketua Biro Wanita ISMA SAK iaitu Puan Rokiah Bt. Aziz pada jam 9.15 pagi. Kemudian, Ustaz Mohd Rushdi b. Alias mengambil alih majlis daripada moderator, Akhi Razak Omar melalui pembentangan kertas kerja bait muslim pada jam 9.30 pagi.

Slot ini banyak menyentuh aspek tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh suami dan isteri di dalam sesebuah institusi keluarga. Pada jam 10.35 pagi, majlis berhenti berehat seketika dan disambung semula pada jam 10.45 pagi dengan slot seterusnya yang berbentuk forum. Slot forum “Tanggungjawab Ibubapa Soleh Terhadap Anak-Anak ini telah dikelolakan oleh Ukhti Che Aminah Hj. Jaafar selaku moderator. Antara panelis-panelis yang dijemput bagi menjayakan forum ini ialah Ustaz Anuar Saleh, Ukhti Wan Roslina dan Ukhti Masrijah Tawil. Forum ini membincangkan tentang pendidikan anak-anak dan kepentingan ibubapa untuk memainkan peranan di dalam aspek ini. Melalui perkongsian pengalaman oleh para panelis forum, para peserta telah berpeluang untuk mengambil input-input yang praktikal di dalam mendidik anak-anak. Selesai slot forum ini, majlis diserahkan kembali kepada pengerusi majlis untuk upacara penutupan majlis. Para peserta dijemput untuk menikmati hidangan tengahari di ruang kantin masjid sebelum bersurai.

Tidak dinafikan, institusi kekeluargaan sememangnya memainkan peranan yang amat penting di dalam agenda dakwah kita. Oleh itu, sebahagian agenda dakwah perlulah mengambil kira soal tarbiyyah anak-anak yang merupakan generasi pelapis para pendokong dakwah. Maka, ibubapa yang soleh perlu terlebih dahulu menyedari hakikat ini dan kepentingannya, sekaligus memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh di dalam mewujudkan suasana yang soleh bermula dari dalam rumah. Bak kata salah seorang panelis forum pada hari ini; “jika kita menanam padi, mungkin lalang akan tumbuh juga. Tetapi jika kita menanam lalang, memang padi tidak akan tumbuh”.

Semoga lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan di masa hadapan.


Dilaporkan oleh : Akh Hafiy Hazmi
Disunting oleh : Akh Azril Hanafi

0 Comments:

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails