
Persoalan yang sering timbul di dalam benak setiap insan, terutama orang Melayu. Hakikat kehidupan manusia yang dimulai dengan fasa kecil, fasa remaja, fasa belia dan fasa dewasa. Semua orang yang berada pada satu fasa bercita-cita untuk berpindah ke fasa yang seterusnya.
Paling akhir adalah pangkat ”pencen” yang akan dianugerahkan kepadanya, itulah yang sering berlegar di fikiranya bila mencecah usia tua. Orang Melayu sering mengangankan agar waktu pencennya hanya akan diisi dengan menjengah ke surau dan intitusi agama.
Daripada mana kita bermula? apakah yang kita lakukan semasa muda? Sepatutnya itu jugalah yang kita lakukan semasa memegang jawatan ”pencen”. Cuma bezanya adalah pada kadar kekuatan bekerja.
Masa muda digunakan sepenuhnya tenaga untuk mengangkat kayu balak, atau mengendong batu seberat 70 hingga 80 kilogram. Tidak logik jika umur tuanya kelak bebanan yang sama dapat dipikulnya. Tapi, adakah bermaksud seorang insan itu hanya akan melihat sahaja generasi selepasnya mengangkat kayu balak tersebut atau mengendong batu seberat itu?
Pengalaman menghumban kayu balak pada tempatnya, mencampak batu seberat puluhan kilogram di lorongnya, hanya tersemat dikalbunya? Tidak..tidak.. insan yang peka dengan timbangannya dihadapan Allah tidak berbuat demikian.
Tunjuk ajar diberikan, pengalaman dikongsikan dan bimbingan dicurahkan. Ingatlah pada burung ”pipit”, mengikut cerita, kononnya dia berusaha mengangkut air dengan paruhnya demi memadamkan api bakaran Nabi Ibrahim a.s. Itulah amalnya. Walau sedikit, tapi berpada dengan saiz tubuhnya.
Kadar tenaga insan yang berpangkat ”pencen” tidak sama dengan remaja serta belia. Akan tetapi pahala tetap sama jika amal diteruskan dengan niat yang tulus untukNya. Maka, campakkanlah istilah PENCEN dalam kamus hidup anda buat selamanya!
Daripada : Abu `Ukasyah al-San`ani.
Gambar Ihsan : www.senikehidupan.com
Labels: cerpen
